07/05/2026 | Press release | Distributed by Public on 07/04/2026 10:22
USM PULAU PINANG, 4 Julai 2026 - Semangat kesukanan, perpaduan, dan kebersamaan terus menjadi nadi kepada warga Universiti Sains Malaysia (USM) apabila Kontinjen Kampus Kesihatan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Sukan Antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) 4 Penjuru USM 2026 pada Majlis Penutupan dan Makan Malam SUKJAP 4 Penjuru yang berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang malam tadi.
Kontinjen Kampus Kesihatan berjaya mengungguli kejohanan selepas mengumpul 5 pingat emas, 6 pingat perak, dan 1 pingat gangsa, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan SUKJAP 4 Penjuru USM 2026.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang serta meraikan kejayaan semua atlet dan kontinjen yang telah mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata penganjuran SUKJAP 4 Penjuru bukan sekadar medan pertandingan sukan, malah menjadi platform yang memperkukuhkan budaya kolaborasi dan hubungan silaturahim dalam kalangan warga universiti.
"Sukan bukan sekadar pertandingan untuk mencari juara, tetapi merupakan medium membentuk disiplin, integriti, kepimpinan, dan semangat kerja berpasukan. Lebih penting, Sukan 4 Penjuru menjadi platform yang menyatukan seluruh warga USM tanpa mengira kampus, jawatan mahupun latar belakang."
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Sukan dan Rekreasi, Jabatan Pendaftar, Kelab Sukan Staf serta seluruh jawatankuasa daripada keempat-empat kampus yang telah berganding bahu memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar dan jayanya.
Menurut beliau, penyertaan kira-kira 560 atlet, pegawai, dan urus setia yang mewakili Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam 14 acara sukan membuktikan komitmen tinggi warga universiti terhadap pembudayaan gaya hidup sihat serta pengukuhan semangat kekitaan.
Beliau turut berharap agar SUKJAP 4 Penjuru akan terus diperkasakan sebagai program tahunan yang mampu memperkukuhkan perpaduan warga universiti serta menyokong aspirasi USM dalam melahirkan komuniti kampus yang aktif, sihat, dan sejahtera.
Selain meraikan kejayaan kontinjen, majlis turut menyaksikan Zon 3 muncul sebagai Johan Keseluruhan Sukan Antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) Kampus Induk 2026 selepas mencatat kutipan 4 pingat emas, 3 pingat perak, dan 2 pingat gangsa, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan SUKJAP Kampus Induk.
Turut diberikan pengiktirafan ialah para atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang temasya. Anugerah Most Energetic Athlete telah disampaikan kepada Azlisufryzal Bunizar dari Kampus Induk sebagai penghargaan terhadap semangat juang dan komitmen luar biasanya dalam arena sukan, manakala Anugerah Most Valuable Player (MVP) SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 menjadi milik Norsyazwani Nadirah Samsudin dari Kampus Kesihatan atas sumbangan cemerlang beliau membantu kontinjen muncul juara keseluruhan.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan turut diserikan dengan tayangan montaj sepanjang kejohanan, persembahan khas warga USM serta penyampaian pelbagai anugerah khas sebagai penghargaan kepada atlet, pegawai, dan kontinjen yang telah menceriakan temasya tahun ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim; Pengarah Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; serta Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia merangkap Yang Dipertua Kelab Kebajikan dan Sukan Staf Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad, bersama pegawai-pegawai utama universiti, ketua-ketua kontinjen, atlet, dan warga USM.
Penganjuran SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 sekali lagi membuktikan bahawa sukan merupakan wahana terbaik dalam menyemai nilai perpaduan, integriti, disiplin, dan semangat kerja berpasukan, sekali gus memperkukuhkan hubungan erat antara warga dari kesemua kampus USM.
Selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan komuniti kampus yang seimbang dan berdaya saing, SUKJAP 4 Penjuru terus kekal sebagai platform yang bukan sahaja mencungkil bakat sukan, malah mempererat hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga USM.
Teks: Siti Salwa Suhaida Mohamad Ibrahim. Sektor Pengurusan Acara, Pusat Sukan dan Rekreasi, USM