Universiti Sains Malaysia

06/08/2026 | Press release | Distributed by Public on 06/08/2026 10:10

28 PELAJAR SERTAI KOHORT KEDUA PROGRAM T6 KAMPUS UA USM

Posted on 08 June 2026.

NIBONG TEBAL, 8 Jun 2026 - Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengalu-alukan kehadiran kohort kedua pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam (Program T6 Kampus UA).

Majlis ini menandakan kesinambungan inisiatif pendidikan strategik melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan USM dalam memperkenalkan laluan baharu pendidikan prauniversiti berasaskan ekosistem universiti.

Program ini yang memulakan kohort pertama pada 10 Jun 2025 kini memasuki fasa kedua dengan pendaftaran seramai 28 pelajar, merangkumi 16 pelajar aliran Sains dan 12 pelajar dalam bidang Sains Sosial.

Dalam ucapannya, Pengarah Kampus KKTSS, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha menegaskan bahawa kehadiran pelajar pada hari ini amat dialu-alukan sebagai permulaan kepada pengalaman pembelajaran yang berbeza daripada sekolah harian.

Beliau menjelaskan bahawa pelajar yang menyertai program ini berpeluang menimba pengalaman secara langsung dalam persekitaran universiti, termasuk berinteraksi dengan mahasiswa serta mempelajari budaya pendidikan tinggi yang sebenar.

Menurut beliau, pendedahan awal ini memberi ruang kepada pelajar untuk memahami landskap universiti dengan lebih dekat, sekali gus membantu membina aspirasi untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa pada masa akan datang.

Tambah beliau, pendekatan yang diterapkan melalui program ini bertujuan melahirkan satu bentuk "asimilasi intelek", di mana pelajar Tingkatan Enam bukan sahaja mengikuti sukatan pelajaran STPM, tetapi turut dipersiapkan dengan kematangan sahsiah dan keupayaan berfikir secara kritis melalui pengalaman dalam ekosistem universiti.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Program T6 Kampus UA merupakan satu langkah berani dalam mentransformasi landskap pendidikan negara.

"Inisiatif ini membawa pelajar keluar daripada persekitaran sekolah menengah konvensional dan menempatkan mereka secara langsung dalam suasana pembelajaran universiti yang lebih dinamik," ujar beliau.

"Usaha ini bukan sekadar melibatkan perubahan lokasi pembelajaran, tetapi merupakan satu pendekatan baharu yang bertujuan merapatkan jurang antara alam persekolahan dan pengajian tinggi," tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan tersebut penting bagi memastikan pelajar lebih bersedia dan matang apabila melangkah ke peringkat pengajian tinggi kelak, seterusnya mencerminkan usaha kolektif antara KPM, KPT dan universiti.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman, Pejabat Pengarah, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), USM

Universiti Sains Malaysia published this content on June 08, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on June 08, 2026 at 16:10 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]