07/22/2026 | Press release | Distributed by Public on 07/22/2026 06:41
Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 23 Julai hingga 29 Julai 2026.
Harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu. Harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16% sepanjang minggu lalu apabila konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak selepas berakhirnya tempoh gencatan senjata.
Sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.
Kenaikan harga minyak mentah turut didorong oleh paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi.
Pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan. Meskipun usaha untuk menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan tersebut masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan.
Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Penetapan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 23 Julai hingga 29 Julai 2026 adalah seperti berikut:
Harga Runcit
| Bahan Api | Harga Runcit | Perubahan |
| RON97 | RM4.20 seliter (harga 22 Julai 2026: RM4.00 seliter) | Naik 20 sen |
| RON95 | RM3.62 seliter (harga 22 Julai 2026: RM3.42 seliter) | Naik 20 sen |
| Diesel (Semenanjung Malaysia) | RM4.42 seliter (harga 22 Julai 2026: RM4.07 seliter) | Naik 35 sen |
Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:
| Bahan Api | Harga Subsidi |
| RON95 (BUDI95) | RM1.99 seliter |
| Diesel (BUDI Diesel) | RM2.10 seliter |
| Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) | RM2.05 seliter |
| Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) | RM2.15 seliter |
Melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.
Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
22 Julai 2026
↓ Muat turun: Siaran Media - Harga Petroleum 22072026