Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

10/10/2025 | Press release | Distributed by Public on 10/10/2025 06:26

BELANJAWAN 2026: WISMA PUTRA MENGALU-ALUKAN BELANJAWAN MADANI YANG DINAMIK DAN BERIMPAK TINGGI 10 OKTOBER 2025

BELANJAWAN 2026:

WISMA PUTRA MENGALU-ALUKAN BELANJAWAN MADANI

YANG DINAMIK DAN BERIMPAK TINGGI

10 OKTOBER 2025

Wisma Putra menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 Kerajaan MADANI bertemakan "Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat" oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada hari ini, 10 Oktober 2025.

Secara keseluruhan, Wisma Putra telah diperuntukkan sebanyak RM1,200,844,100 di mana RM982,698,600 adalah bagi Belanja Mengurus dan RM218,145,500 bagi Belanja Pembangunan.

Tahun 2026 menandakan peralihan sebahagian fokus Wisma Putra selepas selesai pelaksanaan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. Dengan berakhirnya tempoh kepengerusian ini, Kementerian kini menumpukan kepada pengukuhan peranan diplomasi Malaysia di peringkat serantau dan global, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menitikberatkan keseimbangan antara kemakmuran, kemampanan dan kesejahteraan global.

Belanjawan 2026 turut menjadi suntikan positif kepada Wisma Putra untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dengan lebih efektif dalam mempertahankan dasar luar dan kepentingan negara, meningkatkan penglibatan Malaysia dalam pelbagai proses dan inisiatif yang diketengahkan oleh organisasi dan pertubuhan antarabangsa dan serantau, termasuklah ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Kumpulan D-8 dan BRICS. Ini adalah selaras dengan aspirasi MADANI dan dasar serta komitmen Malaysia terhadap diplomasi yang proaktif, inklusif dan berprinsip.

Wisma Putra juga menghargai dana khusus sebanyak RM31.5 juta bagi peruntukan penyelenggaraan serta penggantian aset-aset di Kedutaan Malaysia di luar negara yang dapat mengoptimumkan kapasiti operasi perwakilan Malaysia. Selain itu, peningkatan peruntukan bagi belanja pembangunan akan menyumbang ke arah kerja-kerja memulihara dan menaiktaraf bangunan-bangunan milik Kerajaan di luar negara. Ini akan dapat mempertingkatkan keupayaan Wisma Putra dalam menyampaikan perkhidmatan konsular dan diplomatik yang lebih cekap dan berkesan.

Wisma Putra kekal komited dalam menyampaikan perkhidmatan luar negeri yang unggul, responsif dan berintegriti, serta menyumbang secara bermakna ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.

PUTRAJAYA

10 Oktober 2025

Ministry of Foreign Affairs of Malaysia published this content on October 10, 2025, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on October 10, 2025 at 12:27 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]