Universiti Sains Malaysia

12/13/2025 | Press release | Distributed by Public on 12/13/2025 19:37

PROGRAM REUNION “JOM PI USM” SATUKAN ALUMNI BATCH 1984–1986

Posted on 13 December 2025.

USM, PULAU PINANG, 13 Disember 2025 - Program Reunion "Jom Pi USM" Alumni Batch 1984-1986 yang berlangsung di Dewan Pelinggam Cahaya, Universiti Sains Malaysia (USM) menghimpunkan kembali alumni era 1980-an dalam satu pertemuan penuh nostalgia yang menzahirkan hubungan berterusan antara graduan dan universiti.

Program anjuran Alumni Batch 1984-1986 dengan kerjasama Persatuan Alumni USM (PAUSM) serta Pusat Pembangunan Alumni (PPA) ini bertujuan memperkukuh silaturahim, memperluas jaringan profesional dan mengimbau perjalanan alumni yang telah menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat sejak lebih empat dekad lalu.

Pengisian program bermula dengan alumni menyertai sesi imbas kenangan menerusi lawatan sekitar kampus menaiki bas, yang memberi peluang menghidupkan kembali memori zaman pengajian mereka di USM.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga merupakan alumni USM Batch 1986, sekali gus mencerminkan pencapaian alumni USM di peringkat nasional.

TYT Tun dalam ucapannya menzahirkan kegembiraan dapat kembali ke kampus USM yang sarat dengan kenangan peribadi, selain menghargai penganjuran program reunion sebagai wadah menghubungkan semula alumni dengan universiti.

"Saya sangat gembira dapat pulang ke kampus USM ini yang penuh dengan kenangan, dan saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan bagi menggalakkan alumni kembali ke kampus serta menyumbang kepada universiti melalui pengalaman dan peranan masing-masing," ujar beliau.

Seterusnya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, dalam ucapannya menekankan peranan alumni sebagai kekuatan strategik universiti yang bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara melalui pelbagai sektor profesional.

"Di USM, kami percaya bahawa kekuatan universiti bukan hanya terletak pada pencapaian akademik dan penyelidikan, tetapi turut bergantung kepada kualiti serta kejayaan alumninya yang terus mengangkat nama universiti di peringkat nasional dan antarabangsa," jelas Wan Ahmad Jaafar.

Program diteruskan dengan penyampaian cenderamata, sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari perdana bersama tetamu kehormat sebelum alumni menyertai sesi lawatan kampus dan aktiviti bebas mengikut batch masing-masing sehingga majlis berakhir.

Penganjuran Program Reunion Jom Pi USM ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memelihara hubungan jangka panjang dengan alumni, sejajar dengan aspirasi universiti untuk membina komuniti graduan yang kekal terhubung dan menyumbang kepada pembangunan universiti secara berterusan.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa

Universiti Sains Malaysia published this content on December 13, 2025, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on December 14, 2025 at 01:37 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]