Universiti Sains Malaysia

12/04/2025 | Press release | Distributed by Public on 12/04/2025 05:27

PROGRAM AI KNOW: USM PERKASA KOMUNITI KAMPUNG SUNGAI TENGAS DENGAN PENGETAHUAN KECERDASAN BUATAN

Posted on 04 December 2025.

KULIM, 23 November 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kursus SAW402 Seminar Antropologi dan Sosiologi 2 di bawah penyeliaan Dr Nur Hafeeza Ahmad Pazil telah menganjurkan Program AI know di Kampung Sungai Tengas, Kulim, Kedah, yang berlangsung selama tiga hari dua malam dan melibatkan 35 pelajar serta 13 keluarga angkat dengan fokus memperkukuh hubungan universiti komuniti dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap teknologi digital.

Sebagai tradisi tahunan kursus SAW402, para pelajar ditempatkan bersama keluarga angkat dan mengikuti pelbagai aktiviti desa seperti berkebun, berjalan cergas, mempelajari pembuatan makanan tradisional seperti peneram, cucur jawa, muruku dan ikan pekasam, gotong royong, kenduri sekampung serta persembahan pada Malam Pesta Komuniti, yang membantu mengukuhkan hubungan sosial selain memberi peluang kepada pelajar memahami budaya dan gaya hidup masyarakat luar bandar secara lebih mendalam.

Fokus program tahun ini ialah pendedahan mengenai kecerdasan buatan melalui bengkel interaktif merangkumi penghasilan imej, video ringkas, audio, penceritaan digital, bahan pembentangan serta asas pembinaan aplikasi web dan permainan, berdasarkan hasil kajian lapangan yang menunjukkan tahap pengetahuan dan kemahiran AI dalam kalangan penduduk masih rendah tetapi minat mempelajarinya sangat tinggi tanpa mengira usia.

Menariknya, ramai peserta tidak menyedari bahawa mereka telah menggunakan ciri berasaskan AI dalam kehidupan harian melalui telefon pintar dan carian dalam talian, sekali gus menunjukkan keperluan memperluas literasi digital di peringkat komuniti.

Menurut pensyarah kursus, Dr Nur Hafeeza Ahmad Pazil, program seperti ini memberi manfaat kepada komuniti dan pada masa yang sama menjadi platform penilaian pembelajaran pelajar, yang dinilai melalui tiga hasil pembelajaran iaitu kemahiran kognitif, kemahiran personal dan kemahiran kepimpinan menerusi tugasan menyampaikan ilmu, berinteraksi, memimpin sesi pembelajaran serta melaksanakan penyelidikan lapangan.

Program AI know turut menyokong pelaksanaan SDG 4 Pendidikan Berkualiti dan SDG 11 Bandar dan Komuniti Mampan, melalui usaha meningkatkan literasi digital serta memupuk hubungan kukuh antara universiti dan masyarakat luar bandar.

Melihat sambutan yang positif, Dr Nur Hafeeza menyatakan komitmen untuk meneruskan program pemerkasaan digital ini pada masa hadapan, dengan perancangan modul latihan yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan keperluan semasa komuniti.

Teks & Foto: Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia published this content on December 04, 2025, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on December 04, 2025 at 11:27 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]