09/27/2026 | Press release | Distributed by Public on 09/26/2026 21:59
Tokoh undang-undang dan pentadbiran negara Indonesia, Profesor Dr. Yusril Ihza Mahendra kembali ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyampaikan perkongsian bersempena Bicara Alumni Premier: Kepimpinan dan Integriti yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) hari ini.
Program berkenaan dianjurkan sempena Minggu Siswa Lestari sesi akademik 2026/2027 dan Inisiatif Alumni Back to Campus 2026 sekaligus menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman, dan nilai kepimpinan bersama warga universiti.
Kehadiran Yusril Ihza yang kini memegang jawatan Menteri Koordinator Bidang Hukum, Hak Asasi Manusia, Imigrasi dan Pemasyarakatan Republik Indonesia, membawa makna tersendiri apabila beliau kembali ke alma mater sebagai alumni USM yang menerima ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) pada tahun 1996.
Atas ketokohan dan kewibawaan beliau sebagai seorang advokat, akademik dalam bidang undang-undang perlembagaan, ahli politik, dan salah seorang pemikir dan intelektual terkemuka Indonesia, beliau kerap dijemput untuk menyampaikan syarahan mengenai reformasi undang-undang dan pentadbiran di universiti-universiti Indonesia.
Kepulangan beliau mencerminkan kesinambungan hubungan antara alumni dengan universiti serta kepentingan perkongsian pengalaman profesional dalam memberi inspirasi kepada generasi mahasiswa masa kini.
Menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar bergantung pada jawatan atau kedudukan, sebaliknya bermula dengan keupayaan seseorang memimpin diri sendiri, mengurus masa, mengawal tindakan, dan emosi serta berpegang pada prinsip yang benar.
Beliau turut menekankan bahawa integriti perlu dipupuk sejak di bangku universiti, khususnya ketika mahasiswa berhadapan dengan pelbagai pilihan, cabaran, dan tanggungjawab yang membentuk karakter seorang pemimpin.
Program ini turut mengetengahkan peranan pendidikan tinggi sebagai jambatan yang mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia. Kehadiran mahasiswa Indonesia yang sedang belajar di USM bukan sahaja memperkayakan kepelbagaian budaya dan perspektif kampus malah membuka ruang kepada pembinaan persahabatan, jaringan kerjasama, dan persefahaman antara kedua-dua negara.
Penganjuran Bicara Alumni Premier ini bukan sahaja berjaya menyuntik inspirasi dan menyemai nilai kepimpinan berintegriti dalam kalangan warga kampus, malah memperkukuh peranan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang memacu diplomasi ilmu serta keharmonian serantau demi kemakmuran bersama Malaysia dan Indonesia.
Antara mereka yang hadir ialah YBhg. Bapak Wanton Saragih Sidauruk, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang; Mohd Ali Mohd Salleh, Ahli Lembaga Gabenor USM; Dr. Yusron Ihza Mahendra, Mantan Duta Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Republik Indonesia ke Jepun; Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM; Dato' Dr. Khairul Anuar Che Azmi, Penasihat Undang-Undang, Pejabat Perundangan USM; Ir. Ts. Kamarul Badlishah Kamarulzaman, Presiden Persatuan Alumni USM; serta Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.