Ministry of Foreign Affairs of Malaysia

02/05/2026 | Press release | Distributed by Public on 02/05/2026 05:05

TEKS PENGGULUNGAN PERBAHASAN USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH DIRAJA 2026 DEWAN RAKYAT YB DATO’ LUKANISMAN BIN AWANG SAUNI TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI 5 FEBRUARI 2026 (KHAMIS)

TEKS PENGGULUNGAN

PERBAHASAN USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH DIRAJA 2026

DEWAN RAKYAT

YB DATO' LUKANISMAN BIN AWANG SAUNI

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

5 FEBRUARI 2026 (KHAMIS)

_________________________________________________________________________________________________________

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum W.B.T,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

1. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sembilan (9) Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu isu berkait rapat dengan Kementerian Luar Negeri, semasa Sesi Perbahasan ke atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Yang Berhormat Yang Berhormat yang telah mengajukan soalan adalah:

i) YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Bin Mohammad [Simpang Renggam];

ii) YB Tuan William Leong Jee Keen [Selayang];

iii) YB Datuk Ali Anak Biju [Saratok];

iv) YB Tuan Syahredzan Bin Johan [Bangi];

v) YB Tuan Ahmad Tarmizi Bin Sulaiman [Sik];

vi) YB Tuan Wan Razali Bin Wan Nor [Kuantan];

vii) YB Tuan Ir. Ts. Haji Khairil Nizam Bin Khirudin [Jerantut];

viii) YB Tan Sri Dato' Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang [Marang]; dan

ix) YB Datuk Andi Muhammad Suryady Bin Bandy [Kalabakan]

Tuan Yang di-Pertua,

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Simpang Renggam, Yang Berhormat Bangi dan Yang Berhormat Sik yang membangkitkan isu berkaitan dasar luar Malaysia.

3. Dalam era ketidaktentuan geopolitik, Malaysia kekal teguh mengamalkan dasar luar yang aman, bebas dan berkecuali, berteraskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.

4. Pendekatan yang berprinsip dan pragmatik ini telah menjadi tunjang kepada pelaksanaan dasar luar Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan, dan ia telah terbukti berkesan dalam memelihara kedaulatan serta melindungi kepentingan negara.

5. Kerajaan tekad menerapkan pendekatan strategik tidak memihak secara aktif, atau dengan izin, active non-alignment, dalam mendepani cabaran realiti multipolar pada hari ini.

6. Hasilnya, Malaysia berjaya mengekalkan dan memupuk hubungan baik dengan pelbagai negara, di samping mengimbangi hubungan dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China.

7. Ini sekali gus membuka ruang yang luas lagi dinamik kepada Malaysia, terutamanya sektor swasta kita, untuk giat meneroka peluang perdagangan dan pelaburan antarabangsa termasuk menembusi pasaran baharu seperti Amerika Latin dan Afrika.

8. Selari dengan pendekatan tersebut juga, Malaysia terus melipatgandakan usaha memperkukuhkan kerjasama dalam platform-platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan BRICS bagi menangani isu-isu yang berkepentingan. Ini termasuk dalam mengetengahkan isu-isu Palestin dan Global South.

9. Penglibatan aktif dan peranan utama yang dimainkan oleh Malaysia dalam platform-platform sebegini mencerminkan kekuatan suara serta komitmen teguh Malaysia dalam mendukung keadilan sosial bagi mengurangkan penderitaan manusia sejagat, mencapai penyelesaian konflik secara aman dan mempromosikan kestabilan global.

10. Kesimpulannya, penerapan pendekatan yang tidak memihak secara aktif dalam amalan diplomasi Malaysia adalah penting dalam memastikan negara ini kekal bebas dalam memperjuangkan kepentingan nasional dan strategik yang ditakrifkan mengikut syarat sendiri, tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan luar.

Tuan Yang di-Pertua,

11. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Simpang Renggam dan Yang Berhormat Jerantut atas hujahan serta pandangan yang diberikan berhubung kejayaan yang telah dicapai sepanjang Malaysia memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

12. Sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Malaysia telah membuktikan bahawa amanah yang digalas dilaksanakan dengan cemerlang dan berkesan.

13. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan serta kepimpinan Malaysia, malah turut memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju serantau yang berwibawa dan dihormati di peringkat antarabangsa.

14. Selain itu, komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh Komuniti ASEAN, memelihara keamanan dan kestabilan serantau, serta mempertingkat integrasi dan kerjasama ekonomi telah menyumbang secara bermakna ke arah memastikan ASEAN kekal bersatu, relevan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi serta geopolitik yang semakin kompleks.

Tuan Yang di-Pertua,

15. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang yang telah membangkitkan mengenai situasi konflik Kemboja-Thailand.

16. Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara Kemboja dan Thailand pada 27 Disember 2025 merupakan perkembangan yang amat positif ke arah mewujudkan kestabilan dan keamanan yang berkekalan di rantau ini.

17. Ia bukan sahaja mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua pihak terhadap penyelesaian secara aman, malah turut menjadi bukti kejayaan berterusan Malaysia dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara yang konstruktif dan berwibawa dalam konflik tersebut.

18. Malaysia akan terus menyokong sepenuhnya usaha Filipina, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2026 dalam memastikan kelangsungan keamanan di sempadan kedua-dua negara tersebut sentiasa terjamin di bawah pemantauan Pasukan Pemantau ASEAN, atau dengan izin, ASEAN Observer Team (AOT).

19. Beralih kepada situasi di Myanmar, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sik dan Yang BerhormatSelayang yang telah membangkitkan pelaksanaan ASEAN Five-Point Consensus (5PC) dan pilihan raya di Myanmar.

Tuan Yang di-Pertua,

20. Pendirian Malaysia terhadap situasi di Myanmar kekal jelas dan konsisten.

21. Dengan berteraskan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN, atau dengan izin, ASEAN Five-Point Consensus (5PC), Malaysia akan terus menyokong segala usaha ASEAN untuk menggesa penghentian keganasan, menggalakkan dialog politik yang inklusif, serta memastikan penyampaian bantuan kemanusian tanpa halangan kepada semua komuniti yang terjejas.

22. Malaysia amat kesal bahawa pihak junta masih enggan melaksanakan dengan izin, ASEAN Five-Point Consensus (5PC), secara bermakna dan sepenuhnya, walaupun krisis di Myanmar kini telah memasuki tahun kelima.

23. Natijahnya, rakyat Myanmar masih dibelenggu penderitaan akibat konflik yang berpanjangan, selain terikat dengan sekatan penyaluran bantuan kemanusiaan dari negara-negara luar.

24. Malaysia serta negara-negara jiran yang lain turut merasai kesan langsung akibat konflik ini, ini termasuk peningkatan jumlah pelarian pelbagai etnik serta ancaman jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah dan sindiket penipuan atas talian, atau dengan izin, online scams, yang semakin membimbangkan.

25. Sehubungan itu, para Pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada bulan Oktober 2025 telah sekali lagi memperakukan dengan izin, ASEAN Leaders' Review and Decision on the Implementation of the Five-Point Consensus bagi memastikan komitmen berterusan ASEAN ke arah memudah cara penyelesaian damai yang berkekalan di Myanmar.

26. Buat julung kalinya, dokumen ini turut menyentuh perihal pilihan raya di Myanmar, di mana para Pemimpin ASEAN sebulat suara menekankan keperluan agar sebarang proses pilihan raya, perlu dilaksanakan selaras dengan prinsip adil, bebas, telus dan berwibawa sebagaimana yang digariskan oleh undang-undang dan norma antarabangsa.

Tuan Yang di-Pertua,

27. Berhubung isu pilihan raya di Myanmar pula, Malaysia berpendirian bahawa sebarang pilihan raya yang dilaksanakan haruslah berteraskan prinsip adil, bebas, telus dan terangkum, selaras dengan aspirasi sebenar rakyat Myanmar.

28. Isu ini telah turut dibincangkan pada Sesi Pemukiman Menteri Menteri Luar Negeri ASEAN yang telah berlangsung di Cebu, Filipina, pada minggu lalu.

29. Dalam sesi tersebut, Malaysia sekali lagi menzahirkan kebimbangan mengenai perjalanan dan pengendalian pilihan raya tersebut yang didapati tidak menepati prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.

30. Yang Berhormat Menteri Luar Negeri juga telah mencadangkan agar Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengeluarkan satu Kenyataan Bersama mengenai pendirian ASEAN terhadap pilihan raya di Myanmar.

31. Namun, tiada kesepakatan dicapai berikutan perbezaan pendirian dalam kalangan Negara Anggota ASEAN. Justeru, mesyuarat telah bersetuju agar ASEAN meneruskan pemantauan rapi terhadap perkembangan pasca pilihan raya tersebut.

Tuan Yang di-Pertua,

32. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bangi yang membangkitkan isu berkaitan Board of Peace (BoP).

33. Mengenai penubuhan Board of Peace (BoP), Kerajaan mengambil maklum akan kegusaran Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa badan ini tidak seharusnya menjadi pengganti kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malaysia akan terus mempertahankan peranan PBB sebagai badan utama dunia dalam menjaga keamanan sejagat.

34. Sebagai makluman Ahli-ahli yang Berhormat, terdapat dua belas (12) negara termasuk Jerman, Perancis, Itali, Sepanyol, dan juga United Kingdom yang telah menolak untuk menyertai Board of Peace (BoP).

35. Sebagai contoh, Perancis telah menolak secara rasmi penubuhan badan ini kerana ia dianggap mencabar kerangka pelbagai hala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mengenakan yuran penyertaan sebanyak USD1 bilion yang tidak munasabah.

36. Selain itu, Ireland dan Sepanyol turut menyatakan kesukaran untuk menyertai BoP kerana ia dilihat sekadar menambah kerangka kepada mandat sedia ada PBB.

37. Malah, Republik Rakyat China dan Rusia turut mengkritik inisiatif ini sebagai satu strategi untuk mengetepikan peranan Majlis Keselamatan PBB melalui platform yang dikawal secara mutlak.

38. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu Palestin ini bukanlah semata-mata isu agama. Ia adalah isu kemanusiaan, isu hak asasi manusia dan isu hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan hak untuk kembali ke tanah air mereka serta menubuh sebuah negara yang berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Tuan Yang di-Pertua,

39. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sik yang membangkitkan isu berkaitan kegagalan tindakan sedunia, peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diplomasi Malaysia.

40. Kerajaan berkongsi kekecewaan terhadap ketidakmampuan komuniti antarabangsa menghentikan pembunuhan berterusan di Gaza meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan perintah interim.

41. Ketidakpatuhan rejim Zionis terhadap keputusan mahkamah tertinggi dunia ini adalah satu penghinaan besar kepada sistem perundangan antarabangsa.

42. Menyentuh soal Sidang di Sharm El Sheikh pada Oktober 2025, ketiadaan Malaysia di sana bukanlah satu kegagalan diplomasi. Pihak penganjur (AS-Mesir) hanya menjemput negara-negara yang memberikan sokongan penuh dan serta-merta terhadap Pelan Damai Presiden Trump.

43. Dalam menjelaskan pendirian kita, Malaysia memilih untuk tidak memberikan sokongan serta-merta kerana Malaysia mengambil pendekatan untuk menilai pelan tersebut terlebih dahulu bagi menjamin hak mutlak rakyat Palestin, termasuk penamatan penjajahan dan penubuhan negara merdeka.

44. Malaysia tidak akan menggadaikan pendirian berprinsip semata-mata untuk berada di meja rundingan yang tidak menjamin keadilan sebenar bagi Palestin dan rakyatnya.

45. Setiap saluran, sama ada PBB, OIC, dan ASEAN, akan kita manfaatkan bagi memastikan suara rakyat Palestin sentiasa didengari di pentas antarabangsa, sekaligus mendorong kepada penyelesaian konflik ini dengan segera. Malaysia akan kekal teguh bersama Palestin kerana perjuangan mereka adalah perjuangan kita, dan kemenangan mereka akan menjadi kemenangan bagi kemanusiaan.

Tuan Yang di-Pertua,

46. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kuantan yang menggesa Malaysia meneruskan misi bantuan kemanusiaan, terutamanya dalam membantu krisis kesihatan di Gaza.

47. Secara keseluruhannya, melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), Kerajaan telah menyalurkan dana berjumlah RM86 juta sejak 7 Oktober 2023 bagi pelbagai misi kemanusiaan dan kebajikan rakyat Palestin termasuk inisiatif Ops Ihsan.

48. Malaysia juga telah bekerjasama rapat dengan negara-negara lain seperti Mesir dan Jordan serta NGO antarabangsa melalui misi airdrop dan jambatan udara (air bridge). Semua ini dilaksanakan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan di Gaza.

49. Kerajaan juga amat prihatin dengan laporan mengenai risiko penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak yang terlepas imunisasi.

50. Berhubung dengan sokongan perubatan, Malaysia telah menyalurkan bantuan kepada pelbagai badan antarabangsa bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di Gaza dan juga di Tebing Barat.

Tuan Yang di-Pertua,

51. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang, Yang Berhormat Bangi, Yang Berhormat Kuantan dan Yang Berhormat Marang atas keprihatinan dan mengambil maklum akan suara dan kebimbangan mengenai tindakan Amerika Syarikat ke atas Venezuela dan penahanan Presiden Nicolás Maduro.

52. Malaysia sememangnya menentang sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara-negara lain termasuk ancaman dan penggunaan kekerasan secara unilateral.

53. Tindakan Amerika Syarikat terhadap Venezuela jelas sekali melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan penggunaan kekerasan yang tidak sah terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat.

54. Pendirian Malaysia ini telah dizahirkan melalui satu (1) kenyataan akhbar oleh Kementerian Luar Negeri pada 4 Januari 2026 berhubung isu tersebut, di samping kenyataan yang telah dimuat naik di platform media sosial rasmi YAB Perdana Menteri pada 4 Januari 2026 (Ahad).

55. Malaysia menegaskan bahawa Presiden Nicolás Maduro dan isterinya hendaklah dibebaskan selaras norma undang undang antarabangsa.

56. Penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui campur tangan kuasa luar menetapkan satu duluan (precedent) yang amat berbahaya dan menghakis prinsip asas hubungan antarabangsa, melemahkan penghormatan terhadap kedaulatan negara, serta meruntuhkan kerangka perundangan yang menjadi asas kepada ketertiban dunia.

Tuan Yang di-Pertua,

57. Berkenaan kenyataan pihak Amerika Syarikat yang menzahirkan hasrat untuk menguasai Greenland, sebuah wilayah di bawah kedaulatan Denmark, Malaysia sekali lagi ingin menegaskan pendirian bahawa sebarang isu kedaulatan sesebuah wilayah hendaklah diselesaikan secara aman, melalui dialog, dan selaras dengan undang-undang antarabangsa, tanpa unsur paksaan atau tekanan unilateral.

58. Malaysia juga berdiri teguh pada prinsip bahawa keutuhan wilayah adalah mutlak.

59. Meskipun faktor geografi memisahkan Malaysia dan Greenland, situasi ini membawa implikasi luas terhadap penghormatan kedaulatan dan pematuhan undang-undang antarabangsa.

60. Ia menjadikan peringatan kepada masyarakat antarabangsa untuk terus menjunjung Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan memperkasakan pendekatan pelbagai hala dalam mendepani isu sejagat.

Tuan Yang di-Pertua,

61. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Selayang atas keprihatinan dan kebimbangan mengenai hasrat Amerika Syarikat untuk mengamalkan semula prinsip Doktrin Monroe.

62. Penekanan terhadap penguasaan hemisfera Barat, penolakan kehadiran kuasa luar hemisfera, serta pengenalan kepada "Trump Corollary" telah menimbulkan persepsi bahawa pendekatan dasar luar Amerika Syarikat kini lebih berteraskan pengaruh dan kuasa, berbanding komitmen kepada norma multilateralisme dan undang undang antarabangsa. Perkembangan ini secara langsung menyumbang kepada kegusaran terhadap ketidaktentuan dalam sistem antarabangsa.

63. Dalam menangani cabaran ini, Wisma Putra mengambil pendekatan yang pragmatik seperti berikut:

i. Pertama, Malaysia mengekalkan hubungan diplomatik yang neutral, berprinsip dan berasaskan saling menghormati kepada semua kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat, tanpa menjejaskan kebebasan dan kemandirian dasar luar negara. Pendekatan Malaysia kekal konstruktif dan berhemah dalam menyuarakan pendirian serta mempertahankan kepentingan negara melalui saluran diplomasi.

ii. Kedua, Malaysia terus memainkan peranan dalam platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa. Malaysia percaya bahawa suara kolektif negara-negara membangun adalah penting sebagai pengimbang kepada kecenderungan unilateralisme dalam sistem antarabangsa.

iii. Ketiga, Malaysia memperkukuh kerjasama dan solidariti serantau melalui ASEAN dengan menitikberatkan kepentingan prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality), konsensus dan kesepaduan serantau, bagi memastikan rantau ini dipelihara daripada ancaman geopolitik luaran.

iv. Keempat, Malaysia terus menyokong usaha reformasi tadbir urus global, termasuk meningkatkan keberkesanan institusi antarabangsa agar lebih adil, inklusif dan relevan dengan realiti semasa, sekali gus mengurangkan ruang kepada tindakan unilateral yang melemahkan sistem antarabangsa.

64. Kesimpulannya, walaupun dunia kini sedang melalui fasa ketidaktentuan yang serius, Kerajaan berpendirian bahawa penyelesaian terhadap cabaran ini bukan dengan menerima hakikat bahawa dengan izin might is right atau "kekuatan adalah kebenaran", sebaliknya melalui usaha memperkukuh komitmen kolektif terhadap undang-undang antarabangsa, multilateralisme dan diplomasi dua hala. Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai sebuah negara yang berprinsip, konsisten mempertahankan undang-undang antarabangsa, serta komited dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan global.

Tuan Yang di-Pertua,

65. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Saratok yang membangkitkan isu berkaitan Laut China Selatan.

66. Mengenai keberkesanan Kod Tatalaku di Laut China Selatan, atau dengan izin, Code of Conduct in the South China Sea (COC), untuk makluman Dewan yang mulia ini, COC dilihat sebagai satu kod tatacara untuk mengelak konflik dan ketegangan di Laut China Selatan. Ianya adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.

67. COC bukanlah dokumen untuk menyelesaikan pertikaian mengenai tuntutan maritim antara pihak-pihak berkaitan. Pertikaian maritim seharusnya diselesaikan oleh pihak-pihak berkenaan melalui mekanisme yang sedia ada, seperti mana diperuntukkan di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk dengan izin United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 (UNCLOS 1982).

Tuan Yang di-Pertua,

68. Malaysia merupakan Negara Penyelaras hubungan dialog ASEAN Republik Rakyat China untuk tempoh tiga (3) tahun bermula dari Ogos 2024 hingga Julai 2027. Dalam tempoh ini, Malaysia mempengerusikan bersama dengan Republik Rakyat China, dan Malaysia memainkan peranan yang amat penting dan signifikan dalam rundingan COC.

69. Malaysia dan Negara-negara Anggota ASEAN komited dalam rundingan, dan Malaysia sedang mengambil langkah mempergiatkan proses rundingan COC supaya COC yang substantif dan efektif dapat dimuktamadkan sebagaimana tempoh yang diharapkan pada tahun ini.

Tuan Yang di-Pertua,

70. Seterusnya, Malaysia tegas menolak dakwaan dan tuntutan berlebihan, atau dengan izin, excessive claims, Republik Rakyat China yang berdasarkan tuntutan Peta 9-Garis, atau dengan izin, Nine Dash Line map, atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh Kerajaan Republik Rakyat China, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

71. Walau apa pun gangguan terhadap sebarang aktiviti di dalam zon maritim Malaysia, Kerajaan tetap bertegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di dalam kawasan maritimnya di Laut China Selatan, seperti yang terkandung dalam Peta Baru Malaysia 1979.

72. Malaysia berpendirian bahawa aktiviti yang dilakukan di dalam zon maritimnya, termasuk aktiviti perikanan, eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon, adalah hak kedaulatan negara sebagaimana yang diperuntukkan oleh peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982 dan aktiviti-aktiviti tersebut sedang dijalankan.

Tuan Yang di-Pertua,

73. Mengenai rondaan di perairan maritim Malaysia, Kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

74. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan di dalam kawasan maritim Malaysia adalah bagi mempamerkan kehadiran, atau dengan izin, show of presence, di kawasan tersebut.

75. Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan untuk memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti perikanan, eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

76. Berkenaan dengan isu keselamatan dan pencerobohan Kapal China Coast Guard di gugusan Beting Patinggi Ali, Kerajaan sentiasa mengambil berat akan keselamatan perairan negara di Laut China Selatan termasuk di kawasan Beting Patinggi Ali.

77. Kerajaan sentiasa memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan dengan keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.

78. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa Nota Diplomatik merupakan saluran komunikasi rasmi tahap tertinggi di antara kedua-dua buah negara.

79. Dalam memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan negara terpelihara, Kementerian Luar Negeri secara konsisten telah dan akan mengemukakan Nota Bantahan Diplomatik sekiranya kapal dan aset-aset milik Kerajaan mana-mana negara didapati menceroboh perairan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

80. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Kalabakan yang membangkitkan isu berkaitan rundingan persempadanan wilayah antara Malaysia dan Indonesia.

81. Sebagaimana yang Ahli-ahli Berhormat sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengadakan Sesi Penerangan berkaitan Penjajaran Sempadan Malaysia-Indonesia, yang melibatkan kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) pada semalam.

82. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bagi kawasan-kawasan persempadanan yang belum dimuktamadkan dengan negara negara jiran termasuk Republik Indonesia, pihak Kerajaan kekal komited dalam melaksanakan rundingan bersama negara-negara yang terlibat ini dengan tujuan untuk menghasilkan penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak, dengan izin, win-win solution.

83. Kementerian Luar Negeri bekerjasama rapat dengan Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi yang berkaitan serta juga Kerajaan-kerajaan Negeri yang berkenaan melalui pendekatan dengan izin, "whole of government" dalam melaksanakan rundingan dengan negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dapat dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Tuan Yang di-Pertua,

84. Demikian sahaja penjelasan saya mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang sesi Perbahasan ke atas Titah Diraja kali ini.

85. Kementerian Luar Negeri menyambut baik dan menjunjung Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, khususnya dalam memperkasakan hubungan antarabangsa dan menjaga kedaulatan negara.

86. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga menekankan bahawa kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 harus menjadi pemangkin untuk meningkatkan tadbir urus dan hasil rakyat.

87. Justeru, Kementerian Luar Negeri akan terus memperkukuh usaha usaha diplomasi, memperluas jaringan strategik, serta memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.

Sekian, terima kasih.

Ministry of Foreign Affairs of Malaysia published this content on February 05, 2026, and is solely responsible for the information contained herein. Distributed via Public Technologies (PUBT), unedited and unaltered, on February 05, 2026 at 11:05 UTC. If you believe the information included in the content is inaccurate or outdated and requires editing or removal, please contact us at [email protected]